Wednesday, September 2, 2009

PERPADUAN SENIPIS KULIT BAWANG

PERPADUAN. Apa maknanya? Dalam konteks Malaysia perpaduan sering dikaitkan dengan hubungan antara kaum. Tiga kaum terbesarnya hidup aman damai, bersatu padu dan tolong-menolong.

Malaysia pernah diiktiraf sebagai antara negara unik kerana dasar hubungan kaumnya yang erat.

Namun, kini banyak yang mula bercakap semula mengenainya. Kali ini mereka membincangkan mengenai hubungan yang mulai (atau sudah) rapuh antara kaum itu. Perdana Menteri sendiri dalam perutusan Merdeka membangkitkan mengenai soal itu.

Beliau mahu supaya tempoh pemisah di antara kaum dirobohkan dan dibina semula jambatan yang telah diasaskan oleh nenek moyang kita dulu.

Mesej Perdana Menteri itu cukup jelas untuk menggambarkan keseriusan keadaan yang berlaku sekarang. Jalinan geo-politik di Malaysia telah memisahkan kaum-kaum yang ada.

Tiga kaum terbesar itu Ali-Ah Seng-Samy (seperti nama-nama yang sering disebut dalam buku-buku teks sekolah kita dulu) kini semakin (atau sudah) berpecah. Isu-isu sensitif semakin menjadi-jadi.

Isu agama dijadikan bahan politik. Jika di India isu agamalah yang sering kali akan mencetuskan pergaduhan besar. Berpuluh-puluh, malah beratus-ratus orang akan mati bergelimpangan di atas jalan raya dalam pergaduhan agama di negara itu.

Isu itu amat mudah dicetuskan dan ia paling efektif untuk dicetuskan. Di Malaysia ada pihak yang sedang bermain dengan api itu. Mereka suka bermain dengan isu-isu itu.

Kerajaan Selangor kini didakwa oleh banyak pihak gemar memulakan isu-isu seperti ini. Kemudian mereka akan berdiam diri apabila isu itu menjadi besar.

Kita tidak pasti apakah pihak berkuasa keselamatan melihat dan memerhati situasi ini secara serius, atau takut bertindak gara-gara tekanan ke atas ISA?

Namun apa sekali pun, saya ingin berkongsi satu surat dengan anda sekelian mengenai luahan rasa seorang pelajar sekolah di tingkatan enam mengenai erti perpaduan. Beliau yang menghantar emel atas nama leo_taufik90@yahoo.com menulis surat yang tajuknya amat menarik iaitu: Perpaduan senipis kulit bawang.

Renungilah tulisan anak muda ini:

"ISU ini mungkin pada masa kini sedang hangat dibicarakan ataupun boleh dianggap telah lapuk disebabkan selalu sangat dibincangkan sejak pilihan raya ke-12. Namun apa yang pasti isu ini banyak dikupas oleh pakar-pakar akademik, politik dan individu perseorangan yang saya kira berumur sebaya ayah saya.

"Saya sebagai seorang pelajar tingkatan 6 ingin pula menyuarakan pandangan mengenai isu ini. Mungkin pandangan saya akan dianggap kurang matang memandangkan saya masih lagi di bawah tanggungan keluarga, namun atas dasar kebebasan bersuara yang dikatakan dimiliki oleh rakyat di negara ini, tidak ada salah sekiranya saya memberikan beberapa pandangan mengenai isu ini.

"Kita telah merdeka lebih separuh abad, pelbagai kemajuan yang telah kita kecapi dalam masa tersebut, namun entah di mana silapnya, perpaduan antara kaum boleh diibaratkan 'senipis kulit bawang'.

"Saya menyatakan perkara ini bukanlah berdasarkan emosi semata-mata mahupun melalui pembacaan sebaliknya berdasarkan pengalaman sendiri. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6, saya telah bersekolah di empat sekolah dan keempat-empat sekolah tersebut berkenaan merupakan sekolah aliran biasa yang menempatkan pelbagai kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Di sinilah saya mula mempelajari erti perpaduan antara kaum. Saya dapat lihat walaupun berada di dalam sekolah atau kelas yang sama, perpaduan antara pelajar yang berlainan kaum amat sukar dijalinkan.

Pelajar-pelajar ini suka mengasingkan diri mengikut kelompok masing-masing dan jika bergaul pun hanya disebabkan arahan guru atau rakannya itu pandai belajar.

"Dari perkara tersebut boleh disimpulkan bahawa pergaulan antara kaum ini hanya berlaku disebabkan terpaksa dan mempunyai motif tertentu tanpa mempunyai semangat kenegaraan.

Oleh sebab itulah saya berasa sangat hairan mengapa Timbalan Menteri Pelajaran menyatakan matlamat 1Malaysia boleh dicapai walaupun dilaksanakan di sekolah aliran yang berbeza, pada hal sekolah kebangsaan sendiri pun masih tidak mampu menyatukan pelajar yang berlainan kaum.

"Namun saya tidak menyalahkan kerajaan semata-mata kerana terdapat faktor lain iaitu penerimaan masyarakat itu sendiri.

"Di sekolah, saya mempunyai seorang kawan rapat berbangsa Cina, pernah suatu hari ketika saya dan kawan saya itu berjalan di luar kawasan sekolah untuk ke kedai, saya merasakan banyak mata yang memandang ke arah kami seolah-olah kami makhluk asing dari planet marikh!

"Kami menjadi perhatian hanya kerana saya berbangsa Melayu dan kawan saya berbangsa Cina, berjalan sambil berbual sesama kami, masyarakat seolah-olah menyatakan kami telah melakukan kesalahan besar dan perkara tersebut tidak patut berlaku.

"Kejadian tersebut telah membuka mata saya seluas-luasnya untuk melihat negara ini dalam konteks perpaduan yang sebenar. Rakyat negara asing memuji dengan 'perpaduan' yang mereka lihat di Malaysia. Namun hakikat sebenar tidak seperti yang dilihat oleh mereka.

"Perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang 'senipis kulit bawang' ini semakin dihakis oleh pihak-pihak tertentu dengan sentimen perkauman yang sengaja dimainkan oleh mereka. Dalam hal ini, kerajaan seharusnya memikirkan perkara ini dengan lebih serius, jangan hanya pandai bercakap tapi teragak-agak untuk melaksanakannya.

"Adakah dengan berlakunya sekali lagi tragedi 13 Mei 1969, barulah kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan rakyat di negara ini?"

- leo_taufik90@yahoo.com

Apakah benar tulisan Leo Taufik itu? Apakah itu keadaannya di hadapan kita sekarang? Mungkin benar. Jurang pemisah dari sekolah itu kini telah melarat ke peringkat universiti.

Jika kita ke Universiti Malaya sekarang, kita akan melihat satu kumpulan pelajar Melayu berjalan sesama mereka dan pelajar Cina berjalan semasa mereka.

Pelajar-pelajar di menara gading itu merasakan mereka lebih selamat dan terpelihara atau selesa berjalan sesama mereka.

Situasi ini akan melarat lagi ke bidang pekerjaan dan akhirnya ia akan menjadi budaya masyarakat masing-masing. Mana-mana kaum yang kuat (dari segi ekonomi dan politik) akan mengetepikan kaum lain, hanya kerana cara hidup dan fikiran mereka yang diasaskan dari peringkat sekolah itu. Fikir-fikirkanlah...

Petikan dari Utusan Malaysia (02/09/09)

1 comment:

  1. 1 MALAYSIA- Rakyat didahulukan. pencapaian diutamakan. Semua rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab dalam isu perpaduan.

    ReplyDelete