KOTA BHARU, 30 Ogos (Bernama) – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mensasarkan 72,800 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara untuk diberi penerangan konsep
1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Amin Hassan berkata pembabitan anggota SRS di KRT seluruh negara itu penting agar matlamat kerajaan untuk menterjemahkan konsep 1Malaysia itu sampai ke peringkat akar umbi.
Menurutnya, jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Penerangan sedang mencari pendekatan yang sesuai untuk sama-sama turun padang bagi mempercepatkan kefahaman masyarakat mengenai konsep yang baru diperkenalkan kerajaan menerusi kepimpinan
Perdana Menteri keenam itu.
“Kami akan menggerakkan jentera melalui anggota SRS di semua KRT di seluruh negara untuk menterjemahkan konsep 1Malaysia itu agar ia sampai kepada golongan sasar di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa sempena penyampaian hadiah pertandingan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Rukun Tetangga Negeri Kelantan 2009 di sini, malam tadi.
Beliau turut menyampaikan cek pampasan skim insurans berkelompok kepada tiga keluarga anggota SRS yang meninggal dunia dan terlibat dalam kemalangan tahun lalu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Shukri Mohd Salleh dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Abdul Hadi Salleh.
Azman Amin berkata, masyarakat kini perlu didedahkan dengan pengetahuan dan maklumat mengenai sesuatu dasar kerajaan menerusi konsep yang baru diperkenalkan seperti 1Malaysia agar tidak dikelirukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru kita mencari pendekatan dengan kerjasama Jabatan Penerangan turun padang bagi menjelaskan apa yang maksudkan kerajaan menerusi konsep itu seperti “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jabatannya sudah membayar pampasan berjumlah RM1.3 juta menerusi skim insurans Takaful berkelompok kepada anggota yang terlibat dalam kemalangan sejak skim itu dilancarkan 1 Januari 2007.
Menurutnya, sejak Januari hingga Julai lalu, pihaknya mengendalikan 300 tuntutan bayaran pampasan kepada anggota SRS termasuk 17 kes melibatkan kematian di seluruh Negara.
Menerusi skim insurans takaful berkelompok itu seseorang anggota SRS yang meninggal dunia dibayar pampasan sebanyak RM20,000, manakala mereka yang terlibat dalam kemalangan dibayar bergantung kepada kecederaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment